Thursday, 15 November 2018

Bab 3: Organisasi Dan Kepimpinan


Bab 3:
Organisasi Dan
Kepimpinan
  
Kepimpinan adalah berkaitan dengan visi, objektif, matlamat, isu-isu strategik, transformasi, manusia dan komunikasi. Ia juga meangkumi kebolehan menggunakan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta kemahiran memimpin. Menurut Weihrich & Koontz (2005) “kempimpinan adalah proses seri yang berusaha mempengaruhi orang supaya mereka rela berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh keyakinan ke arah mencapai matlamat organisasi mereka”.
Dalam konteks ini, pengurus organisasi membimbing kumpulan pekerja mencapai objektif  yang ditentukan melalui aplikasi keupayaan  dan kemahiran mereka yang maksimum. Konsep kepimpinan di dalam pengurusan organisasi pendidikan, khasnya di sekolah menunjukkan bahawa kebolehan seseorang guru besar/pengetua memotivasi, mempengaruhi, dan mengubah sikap dan tingkah laku staf akdemik dan bukan akademik serta murid-muridnya menjamin kejayaan sesebuah sekolah. Kemahiran kepimpinan pula melibatkan kemahiran mendorongkan guru-guru supaya menggunakan pelbagai teknik kepimpinan mereka untuk mempengaruhi dan memotivasikan murid-murid mereka melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan keberkesanan dan pencapaian yang diharapkan.
Di sekolah terdapat satu organisasi atau hierarki yang menjayakan kepimpinan sekolah. Heirarki merupakan susunan atau kedudukan tinggi rendah dalam sesuatu organisasi, masyarakat, dan sebagainya berdasarkan taraf dan kekuasaan seseorang individu atau kumpulan tersebut. Susunan ini menunjukkan sesuatu jawatan yang mengikut bidang, fungsi, tugas dan tanggungjawab yang berbeza.
Dalam pengurusan sekolah, mengikut sistem hierarki Pengetua atau Guru Besar berada pada kedudukan yang paling atas dan diikuti oleh penolong kanan 1 dan seterusnya kepada guru dan staf yang mempunyai gred yang lebih rendah di sekolah sama ada di sekolah menengah mahupun di sekolah rendah. Pengetua/guru besar berperanan sebagai ketua untuk sesebuah sekolah. Beliau bertanggungjawab untuk mengendali kokurikulum dan kurikulum dan memastikan perlaksanaan pentadbiran di sekolah berjalan dengan lancar mengikut aturcara atau skop yang diberikan oleh Kementerian pendidikan Malaysia. Pengurusan, pentadbiran dan kewangan sekolah adalah dibawah tanggungjawab pengetua juga.
Seterusnya, guru-guru Penolong kanan di sekolah. Terdapat beberapa guru-guru penolong kanan dibawah lapisan ini. Contoh yang seringkali dapat dilihat ialah penolong kanan 1 yang bertujuan menjalankan tugas pengetua semasa ketiadaan pengetua. Selain itu , beliau juga bertanggungjawab keatas pengurusan-pengurusan lain seperti keselamatan, hal kurikulum, pentadbiran dan lain-lain. Seterusnya, beliau juga beperanan untuk membantu menyelesaikan tentang hal ehwal peperiksaan, kursus, guru ganti dan latihan guru serta staf sokongan. Selain itu, guru kanan kokurikulum juga turut terlibat di dalam hierarki ini selepas pengetua dan penolong kanan serta guru kanan hal ehwal murid (HEM). Tugas guru KOKO ini jelas dapat dilihat ketika adanya hari sukan dan sebagainya. Selain itu, terdapat guru panitia dan guru akademik di sekolah yang turut disusun di dalam hierarki.
Dalam heirarki organisasi kepimpinan di sekolah juga terdapat lagi beberapa senarai guru lain iaitu guru biasa. Walaupun mereka tidak berada pada kedudukan yang tinggi tetapi peranan mereka sangat penting dalam organisasi sekolah. Hal ini kerana, tanpa mereka pembelajaran di dalam bilik darjah malah di luar bilik darjah tidak dapat dilaksanakan. Tugas mereka bukan sahaja mendidik dan mengajar semata malah mereka juga diberikan tanggungjawab seperti menjadi guru kelas, guru disiplin, guru kaunseling dan lain-lain lagi. Semasa aktiviti kokurikulum, guru perlu menjaga keselamatan pelajar semasa aktiviti dijalankan. Alatan stor, padang , gelanggang dan peralatan juga perlu dijaga oleh guru yang dibantu oleh AJK yang dilantik.
Seterusnya, organisasi sekolah takkan dapat dilaksanakan dengan lancar sekiranya tiada pertolongan daripada kakitangan-kakitangan sokongan seperti kerani sekolah atau staf. Hal ini demikian kerana, staf sekolah turut membantu dalam menjayakan setiap program dan hal-hal berkaitan sekolah tidak kira dari segi pentadbiran, kokurikulum ataupun akademik. Setiap hierarki organisasi kepimpinan di sekolah sangat penting kerana setiap gaya kepimpinan mempengaruhi budaya organisasi sekolah lestari dan teratur.
Susunan kasar hierarki sekolah :
1.      Pengetua Sekolah
2.      Penolong Kanan Pentadbiran
3.      Penolong Kanan 1
4.      Penoong Kanan Kokurikulum
5.      Ketua Bidang
6.      Ketua Panitia
7.      Guru Akademik
Terdapat Model Integrasi Organisasi Kolegial dengan Kepimpinan Tranformasional, Penyertaan dan Interpersonal yang dijalankan di sekolah. Model Kolegial boleh dimaksudkan  kuasa memiliki dan memberikan kuasa sama di antara rakan-rakan. Kuasa adalah diperuntukkan kpd sesetengah atau semua ahli dalam organisasi, yang mereka dianggap mempunyai  sama dari segi persefahaman, tujuan dan  objektif organisasi tersebut. Model kepimpinan yang sesuai diintegrasi dalam Model Kolegial ini ialah Kepimpinan Penyertaan, Transformasional dan Interpersonal. Kepimpinan penyertaan lebih cenderung kepada bentuk kepimpinan terbuka. Pemimpin sama ada menyediakan maklumat bagi menyelesaikan masalah atau bertanyakan staf cadangan penyelesaian.
Andaian ini adalah berasaskan kepada 3 kriteria, iaitu, Penyertaan bersama akan menambah keberkesanan pengurusan aktiviti sekolah, penyertaan adalah diwajarkan dengan prinsip demokrasi. Guru-guru di sekolah juga mempunyai potensi kepimpinan. Mengikut kajian, ahli-ahli dalam organisasi lebih sudi menerima dan melaksanakan projek atau aktiviti yang mereka bersama-sama membuat keputusan. Kepimpinan transformasi mengandaikan bahawa pemimpin mempunyai nilai pandangan dan kepentingan yang sama. Leithwood(1994) mengkonsepkan kepimpinan transformasional di bawah 8 dimensi iaitu, membina visi sekolah, mementukan matlamat sekolah, memberi simulasi intelektual, menawar sokongan individu, menonjolkan amalan terbaik dan nilai organisasi terutama, mendemostrasi harapan prestasi yang tinggi, membentuk budaya sekolah yang cemerlang dan mengikut struktur untuk memupuk penyertaan dalam membuat keputusan.
Kepimpinan transformasional adalah dirujuk sebagai proses yang memberi inspirasi perubahan dan menurun kuasa kepada stafnya dengan tujuan mencapai prestasi dengan lebih cemerlang. Kepimpinan transformasi memfokuskan motivasi dalaman ke peringkat tinggi serta dedikasi yang penuh. Kepimpinan transformasi boleh dihayati daripada 4 stail transformasi, iaitu, pemberian rangsangan secara intelek, pemberian motivasi yang berinspirasi, penumpuan kepada setiap individu dan keunggulan gelagat. Untuk mencapai prestasi yang cemerlang dalam aktiviti kokurikulum, Guru Besar/Pengetua haruslah menunjukkan keyakinan diri, menggalakkan guru-gurunya memainkan peranan agen perubahan yang berkesan serta memupuk semangat kerjasama supaya bekerja sepasukan.
Kepimpinan interpersonal dikaitkan dengan Model Kolegial kerana ia menegaskan kepentingan kolaborasi dan hubungan interpersonal di antara ahli-ahli organisasi. Mengikut kajian, kepimpinan interpersonal membawa persefahaman antara Guru Penasihat dengan ahli-ahli unit kokurikulum. Persefahaman ini akan membawa respons yang berkesan terhadap keperluan individu dan keperluan penyempurnaan kendiri. Dalam hal ini, kepimpinan interpersonal memerlukan pemimpin menguasai kemahiran komunikasi interpersonal serta kecerdasan emosi yang matang. Kepimpinan interpersonal yang berkesan boleh dihayati dalam situasi yang mana ahli-ahli sekolah bekerja sama sebagai satu pasukan dan berkeyakinan mendapat sokongan dan bimbingan daripada pemimpin mereka.
Guru sebagai pemimpin murid, yang mengamalkan sifat kepimpinan demokratik, akan meniggalkan kesan berikut ke atas interaksi  di antara guru dengan murid-murid. Murid-murid cergas bertindak balas terhadap segala aktiviti tunjuk ajar guru. Interaksi di antara murid dengan murid dapat digalakkan. Murid-murid melibatkan diri secara aktif dan bekerjasama dalam segala aktiviti kumpulan. Di bawah kepimpinan guru yang bersifat demokratik, suasana sosioekonomi dapat dipertingkatkan. Hubungan guru dengan murid-murid menjadi mesra. Murid-murid tak takut bertanya atau mengemukakan pendapat mereka. Di bawah situasi ini, keberkesanan pembelajaran dapat dipertingkatkan dan semangat kerjasama dan sikap toleransi dpt dipupuk dengan baik.
Kepimpinan laissez-faire membawa maksud kebebasan diberi kepada aktiviti pendidikan dijalankan tanpa kawalan. Di dalam aktivti kokurikulum, guru penasihat yang mengamalkan sifat kepimpinan laissez-faire akan meninggalkan kesan berikut ke atas interaksi antara guru dengan murid-murid Interaksi antara murid dengan murid meningkat kerana mereka diberi kebebasan sepenuhnya dalam apa sahaja aktiviti dan Interaksi antara guru dgn murid adalah kurang kerana guru yang mengamalkan sifat kepimpinan laissez faire kurang mengambil inisisatif melibatkan diri secara aktif dalam aktivti kokurikulum. Di bawah kepimpinan guru yang bersifat laissez faire, suasana sosioemosi dikatakan menarik. Hubungan antara murid lebih rapat dan mesra. Bagaimanapun, hubungan guru dengan murid kurang baik kerana murid tidak digalakkan berbincang dgn guru. Interaksi yang terlalu bebas boleh menimbulkan masalah disiplin  yang akan menjejaskan keberkesanan aktiviti.
Antara 3 jenis kepimpinan guru, kepimpinan bercorak demokratik merupakan jenis kepimpinan yang sesuai sekali digunakan di sekolah rendah atau menengah. Ini keranan kepimpinan demokratik akan meningkatkan interaksi yg positif di antara guru dgn murid-muridnya. Peningkatan interaksi dua hala ini akan membawa suasana sosioemosi kepada iklim persekolahan yang kondusif untuk segala aktiviti pendidikan yg akan menuju ke arah merealisasikan aspirasinya.
Kesimpulannya, kepimpinan dan Kecemerlangan dalam Pengurusan Sekolah dapat dilihat jika semua organisasi yang ada di sekolah memainkan peranan masing-masing. Dua perkara yang saling berkait dan sepadu ialah kepimpinan dan kecemerlangan. Pengurusan yang baik, cekap dan berkesan mencerminkan kualiti kepimpinan manakala, seseorang pengurus dan pemimpin pendidikan yang dihormati, cekap dan berkesan perlu memiliki sifat dan kualiti yang sepatutnya dimiliki oleh seorang guru.

No comments:

Post a Comment

Laporan dan poster kumpulan 7

Sila klik link di bawah untuk melihat laporan kumpualn. https://drive.google.com/file/d/1gm5ltrJFmqyJzHlZsUI5RDW7m9KK1 gaa/view?u...